Selasa, Jun 14, 2011


Jaulah yang panjang. Penat memang penat. Letih memang letih. Mengah memang mengah. Tapi kakinya teguh melangkah. Menapak dan menapak. Matanya menyorot lurus ke depan. Peluh dingin terpercik di dahi, namun semangat di hati untuk meneruskan jaulah disemat padu. 

Jaulah kali ini, bukan jaulah biasa-biasa. Di sudut hati dia sebenarnya mahu mencari sesuatu. Ya, dia mahu meluruskan kembali sudut fikirnya. Dia mahu menemukan kembali Rabbnya. Dia mahu mencari potensi dirinya, dia mahu menambah iman dan mencambahkan pemikirannya dengan bertukar-tukar pandangan dan menghirup nasihat-nasihat daripada orang-orang yang lebih berpengalaman.

Alhamdulillah, lebih 8 hari hari dia berjaulah. Rasanya dia temui hampir kesemua yang dicari. Namun, jaulah ini masih panjang. Jaulah ini tidak terhenti di sini. Dia sedar, sebagai manusia, hidup ini memang sebuah jaulah. Tidak berhenti selagi tidak mati. Bukankah manusia itu sebenarnya ibarat pengembara di bumi ini?

Dia tiba-tiba teringat akan kata-kata sahabatnya, "Jaulah ini jangan hanya beroleh penat dan keringat, tapi pastikan iman kita semakin bertambah."

Benar katanya. Kalau kantong kosong, duit habis dan tenaga pun berkurang, tapi di akhirnya tiada juga menambah iman, alangkah ruginya!

Dia tiba-tiba terasa kerdil dan hina. Ya, kadang-kadang, apabila matanya menangkap indahnya alam, dia terasa seolah-olah selama ini dia selalu lupa akan keagungan Rabbnya, kehebatan Tuhan yang menciptakan luasnya bumi, tingginya langit, hijaunya rumput dan gagahnya gunung. Bermacam haiwan dan tumbuh-tumbuhan, berbagai warna bunga-bungaan, namun di mana teguhnya sebuah keyakinan? Adakah seteguh gunung yang dia daki hari ini? Adakah semapan itu imannya?

Dia terdiam. Bertafakur sendiri. Bukan dia tiada jawapan. Tapi jawapannya terlalu jelas untuk dinyatakan. Ah, Allah lebih tahu. Kerdil lagi terasa~

Gua yang dia telusuri sebentar tadi dipandang penuh kekaguman buat terakhir kali. Pemandangan dari atas bukit itu pun dia perhatikan lagi dan lagi. Indah! Tidak puas! Oh, hebatnya Sang Pencipta!

Alhamdulillah kerana dia berpeluang merasai nikmat ini. Subhanallah kerana keindahan yang tak tertanding. Allahuakbar buat Pencipta yang Agung!

Jaulah, esok bersambung ya!;-)



Love you as always,
diDiE AiNoRi

0 comments:

 
Copyright (c) 2010 Diari diDie. Design by Wordpress Themes.

Themes Lovers, Download Blogger Templates And Blogger Templates.