Hidup ini terlalu singkat untuk berehat-rehat dan bermalas-malasan. Hidup ini juga terlalu pendek untuk bersedih dan bermuram durja. Malanglah bagi manusia yang tidak memanfaatkan hidupnya ke tahap maksimum. Begitu yang bisa saya simpulkan berdasarkan pengalaman 20 tahun hidup di dunia yang fana ini. Tidak hanya itu, malah saya menyaksikan ramai orang di sekeliling saya yang tidak menemukan bahagia, tidak juga berjumpa ketenangan, jauh sekali kebahagiaan. Padahal, mereka memiliki harta yang banyak, kedudukan yang tidak kalah hebatnya, otak yang tak tertanding pintarnya. Mereka punya segala-gala. Tetapi jauh di dalam sana, jiwa mereka kosong....
Namun begitu, bukanlah minat saya untuk berbicara tentang orang lain. Saya memang suka melihat dan memerhati tingkah laku manusia, tetapi tidak bermakna saya tidak mencermin diri sendiri. Jujurnya, saya juga pernah seperti mereka. Saya pernah merasakan seolah-olah bahagia dan damai itu tidak hadir dalam hidup saya walhal saya boleh dikatakan berada dalam comfort zone. Saya mungkin bukan berasal daripada keluarga yang kaya-raya, berkedudukan atau terhormat, tetapi sekurang-kurangnya, saya tak pernah kebulur, saya sentiasa punya wang yang cukup untuk menyara diri sendiri, saya punya tempat berteduh yang amat selesa, dan saya malah mempunyai tahap pendidikan yang boleh dibanggakan. Dipendekkan cerita, dunia saya miliki, tetapi saya tidak pernah merasai kebahagiaan yang hakiki....
Lalu saya berkelana di bumi ini,mencari makna diri. Mencari jawaban kepada persoalan hidup yang rutin. Untuk apa saya belajar pandai-pandai? Untuk apa saya score dalam peperiksaan sedang saya tidak merasai apa-apa pun yang bertambah dalam hidup saya setelah saya mencapainya. Mungkin saya bangga dan berbunga-bunga seketika, kemudian semuanya kembali normal dan saya meneruskan hidup lagi. Semua yang saya capai bagaikan tiada makna....Saya masih ingat, sewaktu kecil-kecil dahulu, saya pernah bertanya ibu,
“Ma, bakpo kito keno belajar sungguh?”
“Ngah keno ngaji sungguh, nanti buleh belajar kat universiti, buleh dapat kijo bagus, buleh beli kereta besar, rumoh besar, buleh naik kapal terbang, melancong sano-sini, buleh buat macam-macam, dok la nati jadi ore miskin, dicemuh ore...Haa..tak se jadi pandai?”, ibu saya malah menjawab dengan persoalan juga. Apalagi, cepat-cepat saya mengangguk. Masakan tidak, ngeri saya mendengar perkataan miskin dan dicemuh orang. Sungguh, saya paling tidak suka dihina dan dicemuh. Saya tidak larat memikul semua itu. Maka sejak itu, saya menanam tekad untuk belajar bersungguh-sungguh lantaran saya telah memikirkan yang indah-indah. Saya kepingin belajar di university, punya kerja yang bagus-bagus, punya rumah dan kereta mewah, melancong ke serata dunia, wahhh...tidak sikit benarnya kata ibu, begitu fikir saya.
Nah...akhirnya dengan rahmat Allah, saya sudah memperoleh hampir sebahagian daripada impian waktu kecil saya, dan kini saya sedang mendaki puncak jaya. Namun, di mana bahagia? Saya masih tidak merasa apa gunanya memiliki ini semua. Apakah dengan memiliki kemewahan saya akan memeluk dunia ini sehingga saya mati? Sudah tentu tidak. Saya kini merasakan bukan harta yang bisa membahagiakan, bukan baju-baju cantik atau aksesori-aksesori berjenama yang membawa ketenangan, bukan juga pria handsome yang memuja kita siang dan malam yang jadi perkiraan, tetapi jauh di lubuk hati yang terdalam, saya menyedari bahawa hati ini merindukan Allah...Merindukan Dzat yang lebih agung daripada dunia dan seisinya. Saya bukan mencintai kedamaian, tapi saya sebenarnya merindukan Pencipta Kedamaian, saya bukan mengharapkan kebahagiaan hadir ke dalam hidup saya, tetapi bahkan saya mendambakan Pencipta Kebahagiaan itu sendiri. Saya dan orang-orang di luar sana, yang malah ada yang sudah pun sukses dan berhasil, tetapi masih berkata tidak memiliki apa-apa, kalian sebenarnya merindukan Allah! Kalian mendambakan pencipta kalian, kalian merindukan sifat-sifat Allah. Kerana apa? Kerana sebab itulah kita semua diciptakan!
“Tidak diciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat kepadaku” (maksud firman)
“Maka,hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama(Islam);( sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu. (itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Ar-Rum:30)
Sahabat-sahabat, saat kita mengkosongkan diri di hadapan Allah,merasakan bahawa diri kita ini tidak berdaya, mengakui bahawa kita hanyalah hamba, dan Allah lah yang Maha Berkuasa, maka ketika itulah, sebuah keindahan dan kedamaian yang tidak tergambarkan akan tercipta. Iaitu saat kita kembali kepada fitrah! Jangan sekali-kali merasa cukup dengan diri sendiri, jangan merasa dunia ini kita yang punya. Ingatlah, semua harta yang kita miliki hanyalah pinjaman daripada Allah. Sentiasalah bersyukur dan merasai kebersamaan dengan Allah dan Dia telah berfirman, “Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu ingkar kepadaKu.” (Al-Baqarah:152).
Hidup ini hanyalah seperti sebuah ladang tempat kita menanam benih amalan, agar hasilnya nanti dapat kita tuai buat bukti diri patuh ajaran Tuhan! Wallahualam..
Dr didie: - Di luar sana, ada yang tak cukup makan, tapi, ramai yang cukup makan pun tak reti-reti nak cukupkan solat 5 waktu!
2 comments:
masyaalah, penulisan yang membuat hati ini menilai, akal berfikir, naluri tersentak seketika.
Rindu pada pencipta kedamaian..suatu perasaan yang sukar dimengertikan.
kerinduan yang menuntut utk sang hamba merintih sepertiga malam. kerinduan yang menuntut sang hamba menitiskan air mata mencari keredhaan Tuhan.
kerinduan yang menuntut hati sentiasa dihijab daripada kejahilan.
moga dipertemukan kerinduan itu.
love,
kak wani
semoga hati ini sentiasa dijernihkan oleh Allah...jzzk k.wani..
Catat Ulasan