Ahad, Mei 31, 2009

Saudaraku,

Tiadalah makna jika kita hidup tanpa jiwa, hati dan perasaan. Tiadalah rasa manisnya sebuah kehidupan itu tanpa rasa cinta yang mekar di dalam jiwanya.

Kegagalan memanfaatkan fungsi hati yang menjadi enjin penghangat rasa cinta akan membuatkan kita hilang upaya untuk menikmati dunia ini sepenuhnya.

Kerana hidup kita bukanlah berlandaskan matematik, biologi atau sains semata-mata. Jauh sekali hiruk-pikuk politik dan hiburan yang menyesakkan dada.

Tetapi hidup kita ini berkait rapat dengan hati dan jiwa. Kita menggunakan hati dan sentimen perasaan dalam sehari-hari kehidupan kita.

Kita berinteraksi dengan manusia menggunakan perasaan. Kita berkeluarga pada hari ini kerana limpahan kasih-sayang dan cinta yang terpercik dari hati kita.

Dan cinta yang tertinggi itu pastilah lahirnya kerana Allah. Uhibbukum fillah. Menyayangi mereka semua kerana Allah. Bukan cinta murahan yang hanya berlandaskan nafsu semata-mata.

Setiap manusia mempunyai hak ini. Hak untuk merasa dirinya dicintai dan menyintai. Hak untuk merasakan bahawa ruhnya dekat dengan Rabbnya. Itulah hak kepada rohani kita.

Gagal memenuhi hak ini bermakna kita gagal dalam kehidupan seorang manusia.

Inilah yang terjadi kepada pemuda-pemudi hari ini. Mereka hilang hati dan perasaan kerana jiwa itu tidak dibajai dengan cinta dan kasih-sayang malah diganti dengan racun nafsu yang memamah seluruh rasa kehambaan.

Akibat terlalu mengikut hawa nafsu membuatkan hati dan perasaan kita menjadi semakin kering, tandus dan gersang. Nafsu tidak kenal erti puas dan cukup.Ia seperti air laut. Semakin diteguk, semakin haus.

Lantaran sekian lama bergelumang dengan dosa dan maksiat, hati kita pun menjadi keras, sekeras tanah di musim kemarau.

Sehinggakan tanpa kita sedar, kita telah lupa bagaimana rasanya nikmat menangis kerana Allah.

Nikmat menangis kerana merasa indahnya berada di bawah lindungan Allah. Nikmat berbuat kebaikan kerana Allah. Nikmat berjihad melawan hawa nafsu kerana Allah dan nikmatnya bermunajat di sepertiga malam-malam yang kita lalui.

Saudaraku,

Oleh itu, simbahlah hatimu, siramlah jiwamu dan tumpahkanlah nuranimu dengan limpahan kasih-sayang dan rasa cinta kepada Allah, Pencipta Agung langit dan bumi.

Biar rasa cinta dan sayang itu membelah kegelapan hati kita dengan suluhan cahaya dan hidayah daripada Rabbi.

Mari kita jalankan hak ini. Berilah makan kepada rohani. Kerana jasad kita cuma sangkar. Adapun yang hidup adalah ruh di dalam jasad itu sendiri.

Dekatkanlah diri kita dengan Allah dengan merasai kehadirannya bersama kita. Rasailah betapa sayangnya Allah kepada kita semua.

Allah, kasihNya tidak bertepi. SayangNya tiada ganti di langit dan bumi. Ayuh, kita bersihkan hati ini!

Allah berfirman,

"Wajiblah cintaku kepada orang-orang yang berkasih-sayang kerana Ku" (hadis Qudsi)




0 comments:

 
Copyright (c) 2010 Diari diDie. Design by Wordpress Themes.

Themes Lovers, Download Blogger Templates And Blogger Templates.