Khamis, Mac 03, 2011

Salam sahabat-sahabat sekalian. Apa khabar anda? Harapnya semua dalam semangat dan motivasi yang tinggi.

Sebelum kita pergi lebih jauh, saya hidangkan anda dengan video ini terlebih dahulu. :)




Nah...sudah tengok? Bagaimana? Terinspirasi dengan ulat beluncas ini? Hihi... Sebenarnya, saya ingin berkongsi suatu kisah. Kisah ini, kisah benar. Biar saya namakan watak dalam kisah ini sebagai Laila.

Laila adalah seorang gadis yang biasa, sekali imbas, tiada langsung keistimewaan padanya. Dia bukanlah seorang yang rupawan. Bukan juga seorang cendikiawan. Dia cuma biasa-biasa saja. Sewaktu kecil, dia selalu menjadi mangsa buli kawan-kawan sepermainannya. Sehinggakan, sampai suatu ketika, dia tidak merasa sekolah itu tempat yang 'best' lagi. Dia malah benci untuk ke sekolah. Kalau boleh, mahu saja dia ponteng kelas supaya dia tidak perlu bertemu dengan kawan-kawannya yang pembuli itu.

Laila adalah seorang anak kecil yang sukar memahami apa yang gurunya ajar di dalam kelas. Terutamanya bahasa Inggeris. Laila pernah dipukul oleh gurunya kerana tidak faham maksud "row" iaitu "garisan" dalam bahasa Melayu. Sebab itu, Laila semakin bencikan alam persekolahannya.

Sifat yakin dirinya semakin menurun. Dia tidak berani untuk menonjolkan bakat yang ada dalam dirinya. Sewaktu di darjah enam, dia pernah diketawakan kerana dia bertanya seorang rakan tentang bagaimana untuk menghasilkan kraf tangan yang begitu kreatif semasa dalam kelas pendidikan seni. Dia terdiam selepas ditertawakan. Malas lagi untuk bertanya itu dan ini.

Pernah suatu ketika, dia berjaya menghasilkan anak patung telur yang sangat cantik. Semuanya dari hasil kerja tangan Laila sendiri. Dari mencari pasir, batang aiskrim dan telur untuk dibuat kepala dan badan anak patung sehinggalah kepada baju dan rambut anak patung, semuanya Laila siapkan. Namun, apabila tiba saat pemarkahan, gurunya pula memperlekeh Laila. Gurunya tidak percaya bahawa Laila yang mencipta sendiri anak patung itu. Dia menuduh Laila meminta tolong daripada ibunya. Laila berasa sangat sedih. Segala usahanya bagaikan tidak dihargai hatta oleh gurunya sendiri.


Masa berlalu, Laila masih budak perempuan yang biasa-biasa. Tidak menonjol dan kerap bersendiri. Laila hilang percaya kepada orang lain kecuali dirinya sendiri. Dia tidak pernah menganggap yang dirinya mempunyai kawan baik kerana baginya tiada orang yang baik di dunia ini melainkan semuanya pembuli dan menunggu masa untuk mengambil kesempatan ke atas dirinya.

Lama-kelamaan, Laila membesar menjadi budak yang liar. Laila semakin berani memonteng kelas dan roll-call. Di asrama, Laila senang bergaul dengan budak-budak nakal dan seronok membuat bising agar mengganggu ketenangan orang lain. Dia puas dapat membalas semula apa yang pernah kawan-kawan waktu kecilnya buat kepadanya dahulu. Dia berasa dendamnya terbalas dengan cara itu. Laila semakin hilang kawalan.

Namun Allah itu sentiasa tahu apa yang ada dalam dada hamba-hambaNya. Suatu hari, Laila dipanggil oleh guru disiplin sekolahnya. Dua jam Laila 'dibasuh'. Sehingga akhirnya, hati yang keras membatu itu mengalirkan air mata keinsafan. Laila sedar, dia tidak boleh terus begini jika dia ingin berjaya dalam hidupnya. Dia tidak boleh terus dengan disiplin yang buruk ini. Hari itu, Laila menapak keluar dari bilik guru disiplin itu dengan suatu semangat. Ya, Laila mahu berubah!

SPM semakin hampir. Laila berusaha bersungguh-sungguh untuk skor dalam peperiksaan kali ini. Dia tidak kisah lagi apa orang mahu kata tentang dirinya. Baginya, yang berlalu, biarlah berlalu. Dia mahu pelangi yang indah muncul dalam hidupnya. Biarlah pandangan manusia sinis padanya, asalkan dia sendiri hormat kepada dirinya.

Result SPM keluar akhirnya. Alhamdulillah, Laila lulus cemerlang. Walaupun tidak straight A's namun cukup untuk melayakkan dia terbang ke luar negara. Laila berasa sungguh terharu dengan kebaikan Tuhan kepadanya. Setelah apa yang dia lakukan, setelah apa yang telah dia kerjakan, Tuhan masih sayangkannya. Laila berasa sungguh kerdil dihadapan Allah.

Siapa sangka. Dulu, Laila adalah seorang yang paling tidak menonjol. Selalu dibuli, dan memang tiada harapan langsung untuk menjadi salah seorang pelajar tajaan mana-mana institusi. Namun hari ini, Laila sedang belajar di salah sebuah universiti terkemuka di luar negara.

Laila selalu termenung sendiri. Memikirkan bahawa hebat dan ajaibnya hidup yang diatur oleh Allah. Laila kagum. Bukan dengan dirinya. Tapi dengan kekuasaan Allah yang telah menghantarkan hadiah yang sebegini hebat dan agung kepadanya. Laila masih berasa seperti di alam mimpi. Sedar-sedar, tahu-tahu, dia telah sampai ke bumi "orang putih". Sedar-sedar dia bakal menjadi seorang saintis lulusan luar negara.

Allah-Allah-Allah....Tiadalah semua ini tanpa kekuasaan dariMu ya Allah...Begitu bisik Laila.

Sahabat-sahabat, kisah Laila adalah salah satu kisah dari ribuan kisah yang terdapat di dunia ini. Kisah bagaimana luar biasanya aturan dan susunan Allah. Saat Laila merasakan dunianya tidak lagi berguna, Allah memberi Laila kesenangan berlipat-ganda. Kisah Laila adalah contoh kekuasaan Allah yang nyata.

Tawakkal dan usaha, hanya kepada Allah lah sandarannya. Allahu...Moga saya dan anda semua mendapat iktibar dari cerita Laila ini. Sebagai hadiah, saya tinggalkan anda dengan video yang penuh simbolik ini. Saksikan!




Love you as always,
diDiE AiNoRi

0 comments:

 
Copyright (c) 2010 Diari diDie. Design by Wordpress Themes.

Themes Lovers, Download Blogger Templates And Blogger Templates.