Selasa, April 14, 2009

Kelabukah kita?Saya terkesan dengan ayat ini.Dalam hidup,pernah tak kita terfikir untuk membuat amalan dan amal ibadah yang biasa2 sahaja kerana tidak mahu menjadi extreme.Sedangkan sedarkah,kita telah mencipta ilusi kelabu di antara hitam dan putih.Kita ingin jadi biasa-biasa sahaja.Sedangkan siapakah kita yang ingin mencipta dunia sendiri.Mengikut perintah Allah itulah yang putih dan melanggar perintah Allah itu hitam.Tiada di tengah2.Tiada istilah orang yang solat tapi mencuri,tiada orang yang cintakan Allah tapi berakhlak buruk,Tiada insan yang beriman jika tidak dapat menahan sabar.

Oleh itu janganlah lemah semangat dalam berjuang dan dalam amalan kebaikan.Jangan ada ragu-ragu untuk membuat kebaikan dan untuk berubah.Kerana tiada istilah di tengah-tengah.Tiada istilah Buat ibadah biasa2,tiada istilah buat baik tapi jgn baik sgt.Sama juga dalam kita menyeru manusia kepada kebaikan,itu bukan pelik,tapi kerana itu perintah Allah.Jangan lemah jika kawan-kawan mengejek kerana terlalu baik,tapi ingatlah kepada janji Allah untuk orang yang menyeru kebaikan——> SYURGA.

hayatilah cotetan di bawah.begitu terkesan di hati.Insan Kelabu.Kitakah itu?Andai,ya,Jom berubah.

TAKEN FROM DAKWAH.INFO(dakwah.info)

——————————————————————————————–


Mahu Jadi Biasa atau Luar Biasa
PDF Print E-mail
Written by admin
Tuesday, 23 December 2008 11:02

Impian saya semasa kecil dahulu ialah menjadi seorang yang luar biasa. Saya mahu menjadi seorang yang mempunyai kuasa istimewa. Mungkin bukan seperti ‘Superhero’ yang terbang di angkasa, tetapi seorang yang mempunyai kuasa istimewanya yang tersendiri. Saya mungkin banyak terpengaruh dengan buku-buku yang mengisahkan watak-watak dengan kuasa istimewa.


Paling terkesan ialah cerita Mathilda oleh Roald Dahl. Yang saya impikan ketika itu adalah mempunyai kuasa ‘psychic’ sepertinya. Pernah juga dulu rakan-rakan menggelarkan diri saya ini “GK”, dengan pelbagai maksud yang berbeza dek kerana saya gilakan kuasa yang pelik-pelik.


Bila menginjak usia remaja, saya telah memilih untuk menjadi orang yang ‘biasa-biasa’ saja. Bukan biasa dengan erti kata tiada kuasa istimewa, tetapi biasa seperti mana rata-rata orang Islam lainnya, atau lebih tepat lagi, biasa dalam erti kata ‘Islamnya’. Kenapa? Kerana ketika itu bagi saya, orang yang membawa imej Islam nampak berbeza dari segi fizikalnya. Mereka seolah-olah manusia pelik. Kebanyakan mereka bertudung labuh lebih daripada biasa, senyap dan sangat bersopan. Bukan bermaksud saya tidak boleh menerima kewujudan mereka, tapi lebih kepada diri saya sendiri. Saya dapat rasakan bahawa diri ini akan menjadi pelik sekiranya saya menjadi seperti mereka. Ditambah lagi dengan tanggapan bahawa orang seperti mereka ni agak kolot, berfikiran tertutup dan asyik bersama dengan kelompok mereka sahaja. Saya kadang-kadang pelik dengan mereka. Bagaimana mereka nanti akan dapat menempuh dunia yang semakin mencabar dengan keadaan mereka yang sebegitu? Bagaimana mereka mahu bergaul dengan masyarakat dalam keadaan tidak boleh menerima pendapat semasa? Dan pelbagai lagi persoalan lain yang didasari tanggapan bebas diri sendiri.


Oleh kerana itu saya telah memilih untuk menjadi manusia yang biasa saja. Tidaklah baik sangat dan tidaklah teruk sangat (kononnya!). Pada hemat saya, cukuplah saya solat, belajar agama, menghormati Islam dan menjaga batas-batas (walaupun pada ketika itu apa yang saya ketahui sebenarnya sangatlah terbatas). Saya beranggapan bahawa dengan menjadi antara orang-orang yang di tengah inilah yang paling bagus kerana saya boleh menerima dan diterima sesiapa saja. Orang yang ‘biasa-biasa’ dengan moto hidupnya, “Enjoy-enjoy juga, solat jangan lupa!”. (Enjoy=maratahon DVD, main game, hang-out dengan kawan-kawan, berlibur dan berhibur)


Tanpa saya sedari, rupanya sayalah manusia yang telah memilih ‘Jalan Kelabu’; Manusia yang memisahkan antara agama dan kehidupannya yang lain atau erti kata lainnya manusia yang SEKULAR.


Dan tanpa saya sedari juga, saya telah memilih jalan yang salah! ‘Jalan Kelabu’ itu tidak wujud sama sekali. Hidup ini hanya ada dua pilihan. Putih atau Hitam. Haq atau Batil. Benar atau Salah. Baik atau Jahat. Syurga atau Neraka.


Jalan Kelabu yang saya pilih itu hanyalah satu ilusi. Ilusi untuk membawa saya terjerumus ke Jalan Hitam. Bahkan bukan saya saja, tetapi juga orang-orang Islam yang melihat Islam dan kehidupannya seperti ada pemisah.

Ah, lihat saja.

Islam di sini kelihatan gah dengan masjidnya.

Islam di sini kelihatan bila orang ingin membina masjid mereka.

Islam di sini kelihatan dengan ritual ibadahnya saja.

Bagaimana pula dengan lainnya? Dan saya bakal ketawa geli hati bila mana orang memanggil ini negara Islam sedangkan seumur hidup saya tidak melihat islamnya.


Pergilah ke mana-mana kompleks membeli-belah terkemuka. Saya kadang-kadang terasa pelik. Seolah-olah saya berasa di bumi yang sungguh asing. Iklan yang terpampang langsung tidak menunjukkan pendirian negara ini; Oh, ya negara islam contoh. Sedang kebanyakan manusia yang menjadi isinya memilih untuk menjadi manusia yang biasa-biasa sahaja. Biasa dan sederhana dalam pengertian mereka sebagai seorang Islam. Oh, kalau dulu mungkin dilihat manusia yang biasa ialah mereka yang mematuhi semua rukun islam dan tidak nampak extreme dengan pakaian mereka.

Tapi itu definisi biasa pada manusia yang biasa pada masa zaman saya. Definisi yang dicipta oleh manusia akan berubah mengikut selera mereka. Kini, orang Islam dalam kategori biasa mungkin seperti ini pula:

-Solat. Tapi tidak cukup 5 waktu pun tak mengapa, janji solat.

-Berpacaran. Berpegangan adalah biasa, jika tidak itu alim.

-Bertudung. Dengan erti kata rambut atau sebahagian rambut itu tertutup. Tapi ya, hanya rambut, bahagian lain tidak termasuk syarat utama.

- dan senarai ini berterusan mengikut kehendak sendiri….


Kalau inilah definisi manusia yang ‘biasa-biasa sahaja’ pada masa sekarang, bagaimana pula nanti akan datang? Apa lagi ‘biasa-biasa sahaja’ yang akan mereka terjemahkan lagi? Akan makin kurang syaratnya?

Saya bukan mahu tujukan ini kepada sesiapa. Bukan juga mahu bersikap pesimis. Juga bukanlah kerana saya ingin berkata yang saya ini lebih bagus dan mereka tidak.

Adalah penting untuk kita jelaskan bahawa tidak wujud sama sekali definisi Islam dengan cara kita sendiri: Islam yang sekerat-sekerat dengan mengambil apa yang disukai sahaja. Masih ramai orang Islam hari ini yang mengambil cara mudah dengan memilih untuk berada di jalan tengah yang sememangnya tidak wujud sama sekali. Betapa ramainya lagi orang Islam dalam masyarakat kita yang masih kabur dengan memilih untuk menjadi orang Islam yang biasa-biasa ini? Mereka ingin menjadi orang biasa yang ingin mengambil Islam secara sederhana. Orang-orang yang mungkin juga berubah-ubah definisi mereka terhadap definisi ’sederhana’ itu sendiri. Apakah maksudnya sederhana itu dengan memakai tudung sekerat cuma? Atau sememangnya definisi sederhana itu kepada mereka ialah dengan tidak mencampur adukkan urusan agama dengan kehidupan lainnya?

Sesiapa pun boleh memilih untuk menjadi orang biasa yang sibuk memikirkan persepsi orang lain terhadap mereka. Mungkin dengan memilih untuk menjadi orang yang biasa-biasa itu akan kelihatan lebih mesra dan mudah didekati oleh semua golongan. Boleh jadi juga manusia yang biasa-biasa ini ialah diri ini yang mungkin masih terlekat lagi jahiliyahnya kerana tidak mahu dilihat aneh oleh orang biasa-biasa yang lainnya.


Jika begitu, perlu saya mengingatkan diri ini bahawa Islam itu datang untuk mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan total kepada Allah semata-mata. Andai kita masih melihat diri dari kaca mata manusia sahaja, apakah sudah lengkap Islam itu pada diri kita? Apakah kita masih ragu-ragu untuk melakukan sesuatu yang mungkin kelihatan aneh dan janggal dalam masyarakat sedangkan itulah hakikat Islam yang sebenar?


Sekarang, saya tidak mahu menjadi orang yang biasa-biasa lagi. Saya mahu jadi luar biasa! Luar biasa ke arah jalan yang Benar, jalan yang Haq, Jalan yang Putih, Jalan yang ke Syurga pastinya. Saya mahu berada di jalan Al-Haq, bukan lagi al-Hawa’. Saya tidak mahu lagi pilih jalan kelabu yang keliru itu. Saya harap kamu juga tidak begitu. Jadi kita boleh sama-sama mengikut jalan yang luar biasa tetapi benar ini. Saya harap untuk jumpa kamu di syurga, mahukah kamu?


Oh ya, jangan lupa juga bawa mereka yang berada di sekeliling kamu..saya pasti mereka juga mahu ke sana. Cuma, mereka mungkin keliru dalam memilih jalannya.


Saya teringin untuk mendengar Tuhan memanggil kita semua kelak apabila sampai di sana…


“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhai. Maka masuklah dalam golongan hamba-hambaKu. dan masuklah dalam SYURGAKU”

(89: 27-30)


Mari!


Tulisan hati:

Bukan Orang Biasa

~Hamra’ Al-Asad~

3 comments:

dr muthiah berkata...

huh
baru td borak2 ttg nihhh
mmg terkena!

HiLMaN berkata...

apakah aku biasa-biasa?

atau golongan orang yang pelik-pelik?

sekular?..

hm..

dR.DidiE berkata...

kdg2 kita sangka kita sudah jadi ghuraba(org asing2@org pelik),tapi sebenarnya kite tak sedar, syaitan sgt licik je memperdayakankan kita.hingga kita tak sedar sebenarnya telah termasuk dalam perangkap dia.Nauzubillah...

 
Copyright (c) 2010 Diari diDie. Design by Wordpress Themes.

Themes Lovers, Download Blogger Templates And Blogger Templates.