Ahad, April 19, 2009

Melalui ciri-ciri ini, kita boleh mengenal pasti golongan yang telah ditimpa penyakit 'terpedaya dalam beragama'. Ciri-cirinya ialah:

1) Kepercayaan kepada prinsip: Hanya aku sahaja yang benar.

Orang yang memiliki ciri ini melihat hanya diri sendiri yang benar, orang lain salah. Hanya dia yang bagus amalannya, orang lain tak bagus. Bila berbicara, hanya bicaranya sahaja yang terbaik. Bila memberi pandangan, hanya ideanya saja yang bernas. Jika dia berhadapan dengan idea orang lain yang lebih baik bahkan disokong oleh dalil dan fakta, dia memandang kecil dan jijik idea tersebut kerana pada pandangannya, ideanya tidak mungkin mengalami sebarang kesalahan. Maksum!

2) Mudah bergembira dengan amalan ketaatan walaupun sedikit.

Bila dia melakukan ketaatan, dia tidak melakukannya dengan perasaan bimbang dan takut jika amalan ini tidak diterima Allah Ta'ala. Bahkan dia merasa gembira dengan amalannya walaupun sedikit. Tidak salah bergembira, tetapi yang salahnya ialah terlalu bergembira dengan amalan kecil sehingga merasa aman daripada perasaan bimbang dan takut kalau
Allah Ta'ala tidak menerima amalan tersebut. Imam Ibnu 'Atoillah al Sakandari radhiyallahu 'anhu mengungkapkan menerusi hikamnya:

Di antara tanda pergantunganmu pada amalan; Kurangnya harapan ketika wujudnya kecacatan (pada amalanmu).

Orang yang begini sifatnya, merasa yakin dengan amalan ketaatan yang dilakukan walaupun sedikit dan mudah merasa gembira. Dia tertipu dengan amalannya sendiri dan kerana itu apabila dia meninggalkan amalan yang biasa dilakukan sekali-sekala, dia masih merasa biasa. Seolah-olah amalan yang biasa dilakukan sebelum ini, kesemuanya diterima oleh Allah Ta'ala. Tiada bimbang, gusar dan takut kalau Allah Ta'ala tidak menerima amalannya sebelum ini.

3) Memandang remeh perkara maksiat.

Apabila dia melakukan maksiat walaupun kecil, dia hanya memandang remeh perkara tersebut seolah-olah ia adalah perkara biasa. Sekadar dosa kecil yang boleh dihapuskan dengan sembahyang dua rakaat. Si miskin ini terlupa bahawa boleh jadi sembahyangnya itu tidak diterima Allah Ta'ala. Berapa banyak pula dosa kecil yang mengundang dosa besar?!
Firman Allah Ta'ala mafhumnya:

Maka janganlah kamu terpedaya dengan (keindahan) kehidupan dunia dan janganlah kamu terpedaya dengan Allah. [Luqman: 33]

Ertinya jangan kamu terpedaya dengan maksiat sehingga kamu sering melakukannya dengan sangkaan bahawa keampunan Allah Ta'ala akan sentiasa mengiringi kamu. Adakah kamu yakin akan terus mendapat keampunan-Nya? Adakah kamu yakin segala amalanmu diterima sehingga mampu menebus dosa maksiat yang kamu lakukan? Yang lebih penting, adakah kamu yakin akan terus beriman dan mati dalam keimanan?? Jangan tertipu dengan amalanmu. Jangan tertipu dengan dosa kecil yang kamu lakukan. Jangan tertipu dengan keluasan rahmat Allah sehingga kamu memandang remeh dosamu itu..

4) Terpedaya dengan keadaan diri sendiri..

Memandang diri sendiri sebagai yang terbaik berbanding orang lain. Orang lain sudah rosak. Akhlak rosak, hidup tiada hala tuju dan bermacam lagi perkara yang tidak boleh diharapkan. Hanya diri sendiri yang tidak rosak. Masih boleh diharap. Sedangkan hakikatnya, apabila dia berpandangan demikian, dia adalah orang yang binasa dengan kebinasaan sebenar! Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda mafhumnya:

Apabila kamu mendengar seseorang berkata, "Orang ramai telah rosak!" Sebenarnya, dia yang rosak!!

Hujjatul Islam al Ghazali radhiyyallahu 'anhu ketika mengulas hadith ini menyebut:
Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyatakan begitu kerana perkataan yang diucapkan ini menunjukkan bahawa orang yang mengucapkannya adalah seorang yang memandang rendah orang lain dan tertipu dengan Allah Ta'ala. Dia merasa aman daripada rancangan Allah Ta'ala dan tidak merasa takut dengan kekuasaan-Nya. Bagaimana mungkin dia tidak merasa takut? Bila dia memandang rendah orang lain dan merasa kagum dengan keadaannya sendiri, ini sudah memadai untuk menunjukkan dia adalah seorang yang jahat!

5) Meninggi diri ke atas pelaku maksiat dan golongan yang tidak sependapat dengannya.

Dia melihat golongan yang melakukan maksiat dengan pandangan meninggi diri. Sepatutnya dia melihat mereka dengan perasaan kasihan dan berusaha membimbing golongan ini agar keluar dari kepompong maksiat. Namun apakan daya, disebabkan dia memandang dirinya sahaja yang terbaik, maka sikap ini menutup pintu hatinya daripada belas kasihan. Seolah-olah dia yakin akan terus terpelihara daripada melakukan maksiat. Begitu juga apabila berhadapan dengan golongan yang kurang ilmunya, dia memandang mereka dengan pandangan enteng. Jika golongan ini bersalahan pendapat dengannya walaupun ternyata pendapat tersebut disokong dengan dalil yang kuat, dia melenting kerana pada pandangannya orang yang kurang ilmu daripadanya tidak boleh bersalahan pendapat dengannya. Seolah-olah dia lebih
tahu segala-galanya.

6) Sukar menerima nasihat.

Dia melihat dirinya tidak perlu kepada nasihat. Lebih-lebih lagi jika nasihat itu datang daripada orang yang lebih rendah ilmu atau amalan daripadanya. Dia tidak perlukan nasihat tetapi orang lain perlukan nasihatnya seolah-olah nasihatnya sudah memadai untuk membimbing orang lain ke jalan yang benar. Mana boleh orang yang lebih rendah martabatnya menasihati dirinya yang lebih baik ini!

7) Suka membanding-bandingkan dirinya dalam pegangan agama dengan orang lain.

Dia suka melakukan perbandingan terhadap dirinya dari sudut ilmu, amalan dan pegangan agama dengan orang yang lebih rendah martabat daripadanya. Lantas dia pun menyangka telah menjadi yang terbaik dan akan terus jadi yang terbaik. Natijahnya dia akan terus merasa senang dengan apa yang ada pada dirinya dari sudut ilmu dan amalan. Tanpa perlu
merasa bimbang...

Dr didie: Saya copy paste article ni dari bulletin post kat friendster.Moga memberi manfaat. Astaghfirullah....

2 comments:

Tanpa Nama berkata...

salam ziarah..
maaf kerana ingin menegur..yg membaca blog saudari mgkin ikwah (lelaki), tak semestinya semua akhawat.jd minta n mohon tdk diletakkn gmbr2 akhawat yg menmpkn aurat spt bhgian lengan n sbgainya.amat mendukacitakan..
blog saudari amat menarik dan memberi begitu byk input kpd saya yg krg ilmu ni..
blog saudari berpotensi menjadi blog dakwah..insyaAllah..
cuma mohon, jgn cemari blog dgn gmbr2 yg mendatangkan dosa kpd kaum llaki n juga para akhawat yg auratnya terdedah..ingatlah, sesungguhnya wanita adalah fitnah terbesar bagi lelaki..
wallahualam...
maaf jika ada terkasar bhasa..

dR.DidiE berkata...

jazakallah atas tegurannya. Afwan,ana terlepas pandang. Alhamdulillah ada yang mengingatkan. berpesan2 pada kesabara dan berpesan2 pada kebenaran.jazakallah...

 
Copyright (c) 2010 Diari diDie. Design by Wordpress Themes.

Themes Lovers, Download Blogger Templates And Blogger Templates.